Noob Film Review - SATU KAMPUNG DUA ORANG diarahkan oleh Sabri Yunus
Buyong, mimpi... dan badik
Pada permulaan filem ini, Buyong (Eman Manan) mengalami mimpi ngeri tentang apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Seorang perempuan tergelincir ke dalam sungai pada malam hari ketika hujan turun dengan lebat. Itulah Milah (Fatin Farhana) isteri yang baru dikahwininya.
Buyong terkejut dari mimpi dan mengeluarkan sebilah badik yang diletakkan di tepi tilam. Mimpi ngeri yang sama selama 30 tahun tentang peristiwa itu dimana Milah mati lemas.
Hujan lebat yang berlarutan telah memaksa orang-orang Kampung Lebai Isa mengambil keputusan untuk berpindah kerana banjir teruk. Buyong tidak mahu berpindah. Dia masih tidak dapat menerima kehilangan Milah. Adik kandungnya Juang (Sabri Yunus) memutuskan untuk tinggal bersama abangnya sebagai teman.
Dari hari itu, Buyong dan Juang mengerjakan tanah dikampung itu hanya berdua dan menjual hasilnya di kampung sebelah yang agak jauh demi keberhidupan.
Namun pemergian Milah bukanlah satu-satunya persoalan yang bermain dikepala Buyong. Badik kepunyaannya sedia menanti untuk dituju kepada seseorang. Dalam benak fikirannya hanyalah itu.
Dendam si Buyong
"Jantan tepi sungai malam tu..." - Buyong.
Sejak pada hari itu, hingga 30 tahun selepas peristiwa kematian Milah, Buyong seakan-akan hilang akal dan terperangkap dalam perasaan marah dan sedih atas kehilangannya.
30 tahun.
Tapi dalam kemarahan dan kesedihan, dalam diam Buyong ada menyimpan sebilah badik, dengan niat untuk membalas dendam keatas apa yang dilihatnya pada malam itu.
Kehadiran seorang pemuda bernama Bidin di teratak mereka telah menggali tentang cerita dan persoalan lama kepada Buyong dan Jang. Juang yang juga sedang lari dari kesalahan beliau menikam isterinya atas dasar cemburu dan syak wasangka.
Sejak itu beliau bertanya soalan-soalan kepada Buyong dan Juang bagaimana dan kenapa hanya mereka berdua yang tinggal di Kampung Lebai Isa ini. Soalan demi soalan di jawab padanya oleh Buyong dan Juang. Satu demi satu ianya terjawab dan cerita sebenar semakin terbongkar.
Buyong sedih dan berdendam. Bidin syak wasangka terhadap isterinya. Tapi Juang tidak mahu berbalah, malah ingin melupakan kisah lalu. Namun kehadiran Bidin seperti telah membuka luka lama. Luka yang tidak sembuh-sembuh walaupun setelah 30 tahun.
Dendam terbalas....tapi
"Aku tikam dia. 30 tahun aku simpan badik ni untuk tikam jantan tepi sungai malam tu..." - Buyong.
Dia seakan lupa itu adalah adik kandungnya. Juang hanyalah 'jantan tepi sungai malam tu' yang ditunggu-tunggunya selama 30 tahun. Perasaan dendam yang disimpan menutup akal fikiran. Tiada langsung kemahuan Buyong mendapatkan kisah sebenar dari Juang. Hunusan badiknya terus kedada adik kandungnya yang sedang tidur, dengan selendang Milah menyelubungi mukanya.
Cerita Juang yang Buyong tidak kisah pun nak ambil tahu
Tidak diketahui Buyong akan pengorbanan Juang. Diserahkan cintanya Milah pada Juang walaupun setelah Bidin melafazkan niatnya pada Milah.
Tidak diketahui Buyong yang Juang berada ditepi sungai pada malam itu bukanlah kerana curang. Tapi untuk memberitahu Milah supaya redha dan Juang sudah sedia untuk meninggalkan Kampung Lebai Isa.
Tidak kelihatan pada Buyong akan kasih Juang padanya dengan duduk serumah selama 30 tahun terpinggir dari masyarakat lain.
Buyong hanya telah terhasut akan bisikan dendam dan badiknya.
Tulisan yang sangat cantik
Dari mula penceritaan hinggalah ke pengakhiran, susunan filem ini kemas dan tiada babak-babak yang dibazirkan. Lakonan 'effortless' Eman Manan dan Sabri Yunus dan 'chemistry' diantara dua veteran ini berjaya menghidupkan watak dan akhirnya menyumbang pada kepaduan penceritaan.
Babak yang diperlihatkan pada permulaan filem membawa maksud yang berbeza setelah cerita diolah satu persatu.
Soundtrack yang minimalis namun cukup untuk menyalurkan mood yang tepat.
Persoalan-persoalan dan relevan cerita pada skala lebih besar
Ia mengenai perasaan dendam yang tersimpan sekian lama. Dan juga mengenai perasaan kasih seorang adik.
Mengenai tragedi banjir disuatu masa dahulu. Dan sejak dari itu segalanya kering dan pilu.
Tidakkah jelas pada Juang yang Buyong terseksa dengan misteri kematian Milah? Mengapa tidak Juang menceritakan hal sebenar setelah Milah mati?
Adakah seperti Buyong, Juang juga mahu terus tinggal di Kampung Lebai Isa untuk berada sentiasa dekat dengan pusara Milah?
Setiap ketika Buyong menghunus badik, Juang mencium selendang Milah.
Dendam Buyong ibarat satu pandemik yang mengisolasikan dirinya dari kelompok awam.
Bidin ibarat seseorang yang ditakdirkan hadir untuk mengakhiri perang bisu 30 tahun diantara Buyong dan Juang. Tanpanya Buyong tidak akan puas dan Juang akan terus menyimpan rahsia.
Dilema yang seakan sama dimana Hang Tuah menurut titah Sultan membunuh Jebat kerana kesetiaan dan ditutup mata hatinya untuk nampak akan Jebat yang selama ini setia dan berkorban demi persaudaraan mereka. Tuah yang akhirnya terduduk keliru memikirkan samada tindakkannya itu benar atau salah.
Mungkin bisa juga "Satu Kampung Dua Orang" adalah satu alegori pedas kepada pertelingkahan bersaudara yang terbelah dua dalam satu negara. Kerana mengikutkan sangat nafsu dendam, kemajuan tergadai. Bila masa orang lain sudah berpindah ketika banjir, mereka masih duduk ditakuk lama.
Macam biasa kita dengar.
Thanks for dropping by!
#teammalaysia
@teammalaysia