Sajak Mulan - 木蘭詩 dalam bahasa Malaysia

in #mulan4 years ago (edited)

Selamat sejahtera.

Inilah percubaan pertama saya menterjemahkan sebuah karya klasik Cina ke dalam bahasa Malaysia. Saya telah cuba yang terbaik untuk memastikan hasil terjemahan cukup santun dan berima seolah-olah ia merupakan karangan asli dalam bahasa Malaysia di samping mencerminkan corak bahasa yang digunakan dalam bahasa asalnya.

Jangan rasa segan untuk memberi tunjuk ajar sekiranya hendak berikan pandangan atau pembetulan. Sekian dan terimalah kisah ringkas riwayat serikandi Mulan dalam bentuk sajak.


Aduhai demi aduhai, Mulan menenun di serambi
Tidak didengar cuban peranti, hanya didengar keluhnya sendiri
Ditanya apa isi hatinya, ditanya apa kenang rindunya
Tiada apa isi hatinya, tiada apa kenang rindunya
Semalam dibaca warta tentera, raja mengerah bala jelata
Dua belas gulung daftarnya, semuanya tertera nama ayah
Ayah tiada anak jejaka, Mulan tiada kanda peria
Sanggup membeli kuda pelana, ganti ayah menyahut kerah

Di timur dibeli kuda teji, di barat dibeli sela bergalang
Di selatan dibeli tali kendali, di utara dibeli cemeti panjang
Pagi tinggalkan ayah bonda, senja menginap sungai kuning
Tidak didengar ayah bonda memanggil pulang,
tetapi didengar air mengalir berkericik di sungai kuning
Pagi tinggalkan sungai kuning, senja mendaki gunung hitam
Tidak didengar ayah bonda memanggil pulang,
tetapi didengar dagang berkuda bertempik di bukit lelayang

Selaksa batu mara berperang, menempuh genting bagai melayang
Angin utara menyebar canang, baju perisai dingin bergenang
Panglima seratus tempur mati, pahlawan sepuluh tahun kembali

Kembali menghadap seri paduka, semayam baginda di seri balai
Dua belas guling harga jasa, beratus ribu kurnia ganjaran
Ditanya raja apa hajatnya, usah diangkat menjadi pegawai
Kuda seribu batu hendaknya, kembali ke kampung halaman

Pulangnya anak disambut ayah bonda, turun kota berpapah-papahan
Pulangnya adinda disambut kakanda, dihias serambi kemerah-merahan
Pulangnya kakanda disambut adinda, diasah pisau buat ternak-ternakan
Kamar timur dibuka pintunya, kamar barat didiami ranjangnya
Tanggalnya jubah masa perang, berganti sarung dahulu kala
Disikat rambut rimbun di jendela, berbedak kuning bunga di kaca
Keluar rumah bertemu sahabat, sahabat handai cengang belaka
Dua belas tahun berjuang bersama, tidak tahu pula Mulan itu wanita!

Arnab jantan kaki meredam, arnab betina dipandang kelam
Arnab berdua lari berdampingan, manatah bezanya betina jantan?

Rujukan: https://zh.wikisource.org/wiki/%E6%9C%A8%E8%98%AD%E8%A9%A9 (untuk versi Cina yang asal)

Coin Marketplace

STEEM 0.19
TRX 0.13
JST 0.029
BTC 66254.46
ETH 3319.59
USDT 1.00
SBD 2.69