MUFTI KL | No Sin for Muslims to Vote for Non-Muslims
Dari Kalam Mufti Wilayah Persekutuan
_Hasil penelitian yang dilakukan, kami dapati tiada dalil qath’ie (muktamad) yang melarang untuk mengundi calon bukan Muslim dalam PRU di Malaysia dan melantik mereka sebagai pemimpin. _
*Ayat-ayat al-Qur’an yang dijadikan hujah untuk mengharamkan pemilihan bukan Muslim sebagai wakil rakyat, apabila diteliti sebenarnya merujuk kepada orang-orang kafir yang memusuhi Islam dan penganutnya. *
_Adapun bagi golongan bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam dan patuh kepada Perlembagaan Negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, maka larangan tersebut tidak terpakai. _
Hal ini termasuk di bawah topik siyasah syar’iyyah bagi pemerintah untuk membenarkan pencalonan mereka atas dasar maslahat kumpulan minoriti.
Tanpa menafikan bahawa majoriti ulama silam mengharamkan pelantikan non-Muslim sebagai pemimpin dan keharusan hanya diberikan apabila terdapatnya darurat. Ini dapat difahami memandangkan konteks hubungan Muslim dan non-Muslim pada waktu tersebut berbeza dengan sekarang.
*Kesimpulannya, hukum asal mengundi bukan Muslim dalam pilihanraya dan melantik mereka sebagai pemimpin adalah harus, kecuali apabila terdapat sifat mendatang seperti memberi ancaman kepada kemuliaan Islam, tiada sifat amanah dan tiada kepakaran dalam melaksanakan tugas. Ke semua faktor ini haruslah diambil kira dalam membuat keputusan sebelum mengundi dan memilih, selain memastikan jawatan tertinggi negara seperti Perdana Menteri, portfolio hal ehwal Islam dan pertahanan negara adalah kekal disandang oleh orang Muslim yang berkelayakan sahaja. *
Wallahu a’lam.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan