Istiqamah mengejar cinta ALLAH

in #cinta7 years ago

TENTU kita biasa mendengar cerita rakyat tentang perlumbaan arnab dan kura-kura yang sangat terkenal di seantero dunia. Jadi, cukuplah saya ceritakannya secara ringkas.

Suatu hari arnab yang berjalan mencari makanan terjumpa dengan kura-kura sedang memanjat tebing sungai. Melihat pergerakan kura-kura yang lambat, dia dengan bongkaknya memperlekehkan kura-kura. Kura-kura berang lantas menjawab segala kata-kata arnab. Arnab tidak berpuas hati lalu mencabar kura-kura berlumba dengannya. Begitulah kisah ini bermula.

Maka, pada waktu yang ditetapkan, berlumbalah arnab dengan kura-kura. Kepantasan arnab memang dijangka. Setelah meninggalkan kura-kura jauh di belakang, dia mula yakin akan menang. Lalu, arnab berhenti berehat dan tertidur. Kura-kura yang berjalan sedikit demi sedikit tadi berjaya mengatasi arnab yang lena dibuai mimpi.

Cerita ini sangat popular dalam kalangan anak-anak kecil. Banyak pengajaran yang boleh diambil dari kisah ini. Ia mengajar kita supaya tidak bongkak seperti arnab dan berusaha seperti kura-kura.

Apabila saya perhatikan, kelihatan satu lagi pengajaran yang dapat kita ambil iaitu sifat istiqamah. Kura-kura diciptakan dengan fitrahnya berjalan lambat. Justeru, hanya kekuatan istiqamah yang menjadi pembakar semangatnya untuk mencapai sesuatu matlamat.
Sang kura-kura

Sufian ibnu Abdullah RA yang digelar Abu Amrah berkata: "Aku berkata: "Wahai Rasulullah! Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu." Baginda SAW bersabda: "Ucapkanlah: Aku beriman kepada ALLAH. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah." (Sahih Muslim)

Rasul SAW begitu menekankan istiqamah. Menunjukkan sifat ini penting dalam kehidupan seorang Muslim. Jadi, apa sebenarnya istiqamah?

Menurut pengertian, sifat ini bermakna iktikad (tetap) di atas sesuatu. Secara amnya, istiqamah ditakrifkan sebagai berterusan dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Ibnu Arabi dalam kitab Ahkam Al-Quran menyatakan istiqamah adalah sentiasa berdiri di atas prinsip kalimah La ilaha illALLAH dan tidak sekali-kali berubah serta tetap teguh dalam melaksanakan segala kewajipan yang difardukan. (Juzuk 7 m/s: 69)

Ibnu Jauzi juga pernah menukilkan beberapa pandangan tentang istiqamah di dalam kitab Madarij As-Salikin, antaranya pandangan Saidina Abu Bakar RA. Ketika ditanya mengenai istiqamah beliau menyebut: “Janganlah engkau mempersekutukan ALLAH dengan sesuatu apa pun”. Manakala Saidina Umar Al-Khattab RA menyatakan, “Istiqamah itu kamu berdiri terus mematuhi suruhan dan larangan ALLAH tanpa berubah-ubah seperti musang.”

Jelaslah, istiqamah itu adalah memegang teguh suatu pendirian yang menjurus kepada mencintai ALLAH SWT secara berterusan. Rasulullah SAW ketika mengajar sahabat tentang Islam sentiasa menekankan agar umat Islam selalu memperbaharui imannya kepada ALLAH, seterusnya istiqamah menunaikan tuntutan lman yang didakwa itu.

Mari kita lihat kembali perbandingan antara kura-kura dan arnab. Sang kura-kura walaupun berjalan lambat, dia tetap terus bertatih untuk mencapai matlamatnya. Arnab pula berlari sungguh-sungguh mengejar matlamat. Namun, akhirnya keletihan menyebabkannya gagal menghabiskan pertandingan.

Lihatlah dalam melakukan amal ibadah, kita tidak disuruh mengerah segenap keringat untuk melakukan semua ibadah dalam satu masa seperti arnab mengerah tenaganya untuk ke garisan penamat. Amalan sebegini akan menimbulkan rasa bosan dan letih dalam beribadah. Hasilnya, kita akan semakin malas dan susah untuk sujud kepada-Nya.

Sebaliknya kita disarankan bertindak laksana kura-kura. Sedikit demi sedikit menuju ke peringkat amal yang lain, tetapi berterusan.

Melakukan amal ibadah secara berperingkat dan cuba istiqamah dalam amalan dapat mendidik jiwa lebih dekat dengan ALLAH. Ia juga memberikan kemanisan beribadah buat sang hamba. Ibadah yang berterusan walaupun sedikit akan memenuhi liang-liang kehidupan seharian kita. Membantu iman terus teguh dalam pancaroba dunia.
Jadi insan dicintai

Amalan yang istiqamah paling dicintai ALLAH. Satu hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari membawa maksud: “Kerjakanlah sekuasamu. Demi ALLAH! Dia tidak bosan memberikan pahala, sehingga kamu sendiri yang malas berbuat amal.” Justeru, tidakkah kita ingin menjadi antara insan yang paling dicintai-Nya? Maka, jika inginkan cinta-Nya beristiqamahlah dalam setiap amal yang terdaya dilakukan.

  1. Istiqamahlah dengan hati sebagai raja kepada jasad dalam melakukan suruhan dan meninggalkan larangan-Nya. Firman ALLAH bermaksud: "Katakanlah: “Bahawasanya Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahwasanya Tuhan kamu adalah Tuhan yang Maha Esa, Maka tetaplah pada jalan yang lurus menuju kepadanya dan mohonlah ampun kepadanya. dan Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang mempersekutukan-Nya." (Surah Fussilat: 6)

  2. Istiqamah dengan lidah sebagai penterjemah isi hati. Sebagaimana yang dinukilkan al-Quran: Maka, kerana itu serulah (mereka kepada agama ini) dan tetaplah sebagai mana diperintahkan kepadamu dan janganlah mengikuti hawa nafsu mereka dan katakanlah: “Aku beriman kepada semua kitab yang diturunkan ALLAH dan Aku diperintahkan supaya berlaku adil diantara kamu. ALLAH-lah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal-amal kami dan bagi kamu amal-amal kamu. tidak ada pertengkaran antara kami dan kamu, ALLAH mengumpulkan antara kita dan kepada-Nyalah kembali (kita)." (Surah As-Syura:15)
    Janji Tuhan

Perlakuan kita secara tidak langsung akan ditarbiah melalui teguhnya pendirian dalam hati dan keazaman yang dilafazkan. Istiqamah akan membawa diri mengecap pelbagai nikmat yang dikurniakan ALLAH. Ia membuahkan pelbagai hikmah sebagaimana yang ALLAH telah janjikan kepada orang-orang yang beristiqamah.

Dalam Surah Al-Fussilat, ayat 30, al-Quran telah mengukir janji Tuhan buat hamba-Nya yang meneguhkan kaki-kaki mereka melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan-Nya.

“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: ‘Tuhan kami ialah ALLAH’, kemudian mereka tetap teguh pendirian (di atas jalan tauhid), akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): ‘Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” (Surah Al-Fussilat: 30)

Dalam ayat ini, dijelaskan tentang hikmah beristiqamah pada jalan ALLAH. Individu yang beristiqamah akan dipelihara daripada keburukan dan ketakutan.

Sebagaimana diterangkan ayat...“Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita.” Kata Hamka, yang paling ditakuti orang dalam hidup adalah hidup melarat dan maut. Kemelaratan sebenar bukanlah hilang harta benda, sebaliknya kehilangan istiqamah untuk mencari cinta-Nya adalah kemelaratan yang lebih teruk dan lebih bahaya daripada maut. (Buku Panduan Hidup Muslim, Bab Istiqamah, kkkkk.jpg

Hikmah yang nyata; balasan syurga menanti insan yang istiqamah. Kini, terpulang pada kita untuk meneladani resmi sang kura-kura atau sang arnab.

Tahun baharu bakal tiba, alangkah molek jika kita dapat membuka luas pintu hati dengan mengharap reda ALLAH buat diri. Tidak perlu berhempas-pulas sehingga lelah dan mengah mengejar cinta-Nya.

Sebaliknya, melangkahlah tapak demi tapak dan kukuhkan langkah agar bosan dan letih tidak menghampiri. Maka, kemanisan iman itu akan datang menaungi.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :

Sort:  

Artikel berkaitan yang patut anda baca :

Coin Marketplace

STEEM 0.18
TRX 0.14
JST 0.029
BTC 57979.07
ETH 3124.67
USDT 1.00
SBD 2.36