Menjawab Fitnah Terhadap Imam al-Ghazali (2)

in #science5 years ago

image

Source image

Dalam bukunya Sharh al-Asbahaniyyah, Ibn Taymiyyah mengutip kata-kata Imam al-Ghazali di dalam Qanun al-Ta’wil bahawa beliau berkata: “Dan modal hadithku adalah sedikit (ana muzja al-bida’ah fi al-hadith)” untuk membuktikan bahawa Imam al-Ghazali tidak tahu ilmu hadith dan kerana kelemahannya ini karya-karyanya dipenuhi dengan hadith-hadith mawdu’ (palsu) dan da’if. Selain dari itu Ibn Taymiyyah menegaskan bahawa karya al-Ihya’ Imam al-Ghazali ini mengandungi materi falsafah dan perkara-perkara tambahan bersesuaian dengan prinsip-prinsip falsafah (Yunani) yang rosak dan bercanggah dengan kenabian dan bercanggah dengan akal sihat. Bertitik tolak daripada cerita bahawa Imam al-Ghazali pada akhir hayatnya membaca Sahih Bukhari dan meninggal dengan mendakap karya hadith itu Ibn Taymiyyah menyimpulkan bahawa Imam al-Ghazali telah meninggalkan Tasawwuf dan kembali kepada ilmu hadith sebagai jalan yang benar dalam mencari kebenaran. Kesimpulannya, Ibn Taymiyyah berpendapat bahawa karya al-Ghazali ini berbahaya kepada orang awam kerana boleh merosakkan akidah mereka.

Pertama, dengan merujuk kepada buku Qanun al-Ta’wil, kita dapat melihat bahawa kata-kata (teks) dan konteks di mana Imam al-Ghazali berbicara demikian adalah berlainan daripada yang dinyatakan oleh Ibn Taymiyyah. Sebenarnya yang beliau katakan adalah: “Dan modalku dalam ilmu hadith adalah sedikit (wa bida’ati fi ‘ilm al-hadith muzjat)”. Di sini jelas bahawa beliau berbicara tentang ilmu hadith dan bukan tentang hadith. Konteksnya pula di akhir kitab itu beliau menekankan pentingnya seseorang yang berbicara tentang hadith sifat dan af’al Allah SWT agar merujuk kepada pakar hadith untuk mengetahui tentang status hadith tersebut terlebih dahulu. Ini kerana sebarang usaha untuk menta’wil hadith tersebut tanpa memastikan kesahihannya boleh membawa kepada kekeliruan yang besar, lebih-lebih hadith tentang Zat, Sifat dan Af’alNya. Di sini jelas bahawa maksud beliau adalah agar kita berhati-hati dalam menerima sesuatu hadith dan tidak terperangkap seperti Abu Ya’la al-Farra daripada Hanabilah yang menerima hadith mawdu’ dan mensabitkan Allah SWT dengan sesuatu yang boleh membawa kepada tajsim. Maka langkah imam al-Ghazali untuk memastikan kesahihan hadith adalah langkah yang tepat, bahkan beliau menekankan agar seseorang itu merujuk pakar hadith, dan beliau mengaku dirinya bukanlah pakar hadith. Maka tindakan beliau mengakui keterbatasan diri adalah sesuatu yang terpuji. Beliau tidak berusaha untuk menjadi orang lain, bercakap tentang perkara yang tidak diketahuinya.

Ringkasnya Imam al-Ghazali berkata beliau bukan pakar hadith. Beliau tidak berkata aku tidak tahu ilmu hadith, atau tidak tahu banyak hadith, perkataan ilmu hadith di sini yang dimaksudkan adalah ilmu tentang sanad atau ilmu jarh wa al-ta’dil yang dikuasai oleh muhaddith besar seperti imam al-Bukhari dan Muslim.

Kedua, daripada pembacaan terhadap buku Usul Fiqh beliau yang terkenal dan menjadi rujukan utama para usuli sehingga hari ini jelas bahawa beliau telah menguasai ilmu hadith. Pembacaan terhadap buku tasawwuf dan buku fiqh seperti al-Wasit dan al-wajiz pula akan menunjukkan bahawa beliau mengetahui dan menghafal banyak hadith. Bahkan amat mustahil untuk mujtahid sebesar beliau tidak menguasai ilmu hadith dan menghafal puluhan ribu hadith. Jadi jelaslah beliau amat merendah diri ketika berkata pengetahuanku tentang ilmu hadith adalah sedikit, tetapi maksud beliau adalah sila rujuk orang yang lebih pakar dalam ilmu ini, orang yang boleh menjelaskan sama ada suatu hadith itu sahih, da’if atau mawdu’. Kerana sememangnya telah wujud pakar-pakar hadith yang telah menghabiskan umur mereka mengkaji hadith maka usaha mereka perlu dimanfaatkan. Kerana itu untuk menyimpulkan bahawa imam al-Ghazali tidak mengetahui ilmu hadith, sehingga beliau tidak dapat membezakan antara hadith sahih dengan hadith mawdu’ adalah suatu andaian yang tersasar bahkan bertujuan untuk memperkecilkan kewibawaan ilmu beliau.

Ketiga, tuduhan bahawa karya beliau Ihya’ Ulum al-Din dipenuhi dengan hadith-hadith mawdu’ adalah tidak benar. Al-Hafiz al-Iraqi yang telah mentakhrijkan hadith-hadith Ihya tidak sekalipun mengatakan ia mengandungi hadith-hadith mawdu’, beliau hanya mengatakan terdapat hadith-hadith yang beliau tidak dapat telusuri kewujudannya (lam ajid lahu aslan). Demikianlah adab seorang ulama’ yang tidak terburu-buru menghukum mawdu’ hadith yang tidak dijumpai dalam koleksi sedia ada kerana masih terdapat kemungkinan ianya tidak direkodkan oleh muhaddith terdahulu. Kecuali jika ada tanda-tanda yang menunjukkan ianya hadith mawdu’. Tidak dinafikan bahawa banyak hadith da’if digunakan oleh Imam al-Ghazali di dalam al-Ihya’ dan majoriti ulama’ berpendapat penggunaan hadith da’if dibolehkan dalam perkara-perkara cabang. Kecenderungan sebahagian ulama’ hadith hari ini yang menyamakan hadith da’if dengan hadith mawdu’ adalah pendekatan yang ekstrim dan menyalahi pendekatan majoriti ahli hadith.

Keempat, tuduhan bahawa al-Ihya’ bercampur dengan falsafah Yunani juga tidak benar. Kerana dari awal lagi Imam al-Ghazali menegaskan bahawa ilmu yang terkandung dalam al-Ihya’ adalah ilmu mu’amalah, iaitu ilmu yang menunjukkan jalan beramal dengan shari’ah yang penting diketahui oleh orang awam dan bukan ilmu jenis kedua, iaitu ilmu mukashafah, ilmu yang menerangkan hakikat ma’rifah yang tidak sesuai untuk orang awam. Sesiapa sahaja yang membacanya dengan saksama dan adil akan tahu bahawa tuduhan di atas adalah tidak berasas.

Kelima, cerita tentang Imam al-Ghazali membaca Sahih Bukhari di akhir hayatnya jika benar sekalipun tidak semestinya bermakna bahawa beliau telah meninggalkan Tasawwuf. Kerana seorang Sufi yang benar tidak sesekali meninggalkan hadith Nabi salla’Llah ‘alayhi wa sallam. Justeru kecintaan terhadap Rasulullah dan sunnah baginda adalah jalan para sufi yang agung. Kesimpulan Ibn Taymiyyah di atas menunjukkan beliau berandaian bahawa Tasawwuf Imam al-Ghazali adalah aliran yang meninggalkan hadith Nabi salla’Llah ‘alayhi wa sallam ini ini tidak benar sama sekali.

Berhati-hatilah dalam beragama. Tidak dinafikan Ibn Taymiyyah adalah ulama’ yang hebat, namun ini tidak bermakna beliau tidak melakukan kesilapan. Tidak mengapa seseorang itu mengikuti beliau dalam perkara yang benar, tetapi untuk mengikutinya dalam perkara yang salah adalah bercanggah dengan ajaran Rasulullah salla’Llah ‘alayhi wa sallam. Kesan daripada fitnah ini besar, ramai orang sudah mula menjauhi buku-buku Tasawwuf, karya para ulama’ yang telah berjasa membimbing umat seribu tahun lamanya, bahkan ramai yang telah terpengaruh dengan kelompok Pseudo-Salafi (Wahhabi) yang keras, mudah mengkafirkan dan menyesatkan sesama Islam.

@ Dr Khalif Muamar

Sort:  

To listen to the audio version of this article click on the play image.

Brought to you by @tts. If you find it useful please consider upvoting this reply.

ya saya merasa kita harus meneladani ima Al ghazali yang tetap merunduk dan makin merunduk saat semua bukir pengetahuan adalah bernas. Saat mengatakan bahwa ia bukan ahli hadits maka kita harus melihat bahwa pembacca dipersilakan mencari tahu lebih banyak kepada ahlinya.
Salam

Thanks for using eSteem!
Your post has been voted as a part of eSteem encouragement program. Keep up the good work! Install Android, iOS Mobile app or Windows, Mac, Linux Surfer app, if you haven't already!
Learn more: https://esteem.app
Join our discord: https://discord.gg/8eHupPq

Coin Marketplace

STEEM 0.35
TRX 0.12
JST 0.040
BTC 71539.00
ETH 3603.23
USDT 1.00
SBD 4.75