Ucapan oleh Penolong Gabenor di Majlis Perasmian Pameran Seni Cetakan: Seni Sepanjang Zaman

in #teammalaysia6 years ago (edited)

image
All this are from BNM website.
Link to the original post :http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_speech&pg=en_speech&ac=805&lang=en

Syukur Alhamdulillah kerana pada hari ini kita dapat sama-sama berkumpul dalam menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran Seni Cetakan: Seni Sepanjang Zaman.

Setinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua seniman, pengumpul-pengumpul karya, warga Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia yang berusaha keras merealisasikan pameran ini. Jutaan terima kasih juga saya ungkapkan kepada para hadirin sekalian kerana sudi meluangkan masa untuk menambah kemeriahan majlis kita pada hari ini.

SENI SECARA AM DAN BANK NEGARA MALAYSIA

Persoalan yang sering ditanya, apakah hubung kait antara Bank Negara Malaysia dengan seni? Apa yang ada pada seni untuk mendorong Bank Negara Malaysia berperanan secara aktif dan mendalam.

Sekilas pandang, Seni dan Perbankan mungkin tidak memperlihatkan perkaitan secara jelas serta semula jadi. Namun, seni sebenarnya mempunyai kaitan yang erat dalam pembangunan negara, tamadun serta kemajuan bangsa. Transisi seni merupakan cerminan perubahan negara dan penduduknya dalam segenap aspek; terutamanya peradaban sosial, politik mahupun ekonomi. Proses perkembangan dan kematangan seni tempatan amat ketara dan ia akan berterusan. Ini dapat disaksikan melalui:

  • Pemilihan subjek seni yang begitu meluas, daripada pemandangan, figura dan seterusnya abstrak;

  • Kepelbagaian media yang berinovasi, daripada cat air, cat minyak, cat akrilik, batik kepada media campuran; dan

  • Penyampaian mesej yang semakin vokal daripada gambaran yang berkisarkan tempatan kepada isu yang lebih global.
    Ini bukan sahaja proses modenisasi fizikal malah jelas sekali, ia juga merupakan bukti proses perubahan pemikiran serta ekpresi yang memberi gambaran masa lalu, semasa, malah masa hadapan untuk dikongsi bersama.

SENI CETAKAN: SENI SEPANJANG ZAMAN

Hadirin semua pasti sedia maklum tentang peranan Bank Negara Malaysia dalam memperluaskan rangkuman kewangan (financial inclusion). Adalah menjadi mandat penting Bank supaya semua lapisan masyarakat dapat mengecapi kemajuan ekonomi serta memperolehi akses kepada perkhidmatan kewangan dan maklumat kewangan.

Begitu juga di bidang seni, Bank Negara Malaysia sentiasa komited dalam memperkasakan rangkuman seni (art inclusion) dengan menyediakan akses seni kepada penggiat, pengamatnya dan masyarakat secara umum. Dilaksanakan melalui Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, usaha ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami bagi memperkayakan serta mengetengahkan seni dan budaya warisan negara. Ianya bermula dengan pengumpulan karya seni seawal tahun 1960-an diikuti dengan penganjuran pameran-pameran serta program-program seni yang dipergiatkan sejak 4 dekad yang lalu hingga kini.

Jika sebelum ini kita sering didedahkan dengan karya seni yang lebih ‘mainstream’ seperti lukisan cat minyak, cat air dan akrilik. Kini, sudah tiba masanya untuk kita tonjolkan pula Seni Cetakan: Seni Sepanjang Zaman.

Dari pandangan mata kasar, ramai yang melihat karya seni cetakan ini tiada banyak bezanya dengan karya catan. Ianya kurang tepat. Jika ramai yang gemar berkarya terus di atas lembaran kertas dan kanvas, seniman seni cetakan pula bermain dengan bahan-bahan yang bersifat ‘industri’ seperti blok kayu, batu dan kepingan logam. Proses menghasilkan imejan-imejan artistik disertai dengan penggunaan alatan tajam, asid dan kini, haba. Seni cetakan pula tidak terhad kepada melukis dan mengecat malah mereka turut mengguris, mengukir, mencungkil, menekan dan adakalanya memijak bagi menghasilkan karya. Semua ini kedengaran amat renyah dan lasak. Teknik-teknik seni cetakan seperti potongan kayu, gurisan, sutera saring serta pirografi bukan sahaja memerlukan kudrat yang kuat malah kesabaran yang jitu dalam proses bereksperimentasi yang amat intensif.

Dalam memperjuangkan jati diri terhadap seni cetakan ini, tidak ramai yang cukup kuat dan berundur lalu beralih kepada bidang seni halus yang lebih komersial. Namun, hari ini, melalui pameran ini, telah terbukti bahawa ramai seniman yang terus setia terhadap seni cetakan. Dan lebih membanggakan, cabaran perjuangan ini disahut oleh seniman-seniman muda dengan aplikasi teknik dan penghasilan karya yang semakin berani.

Timbul pula persoalan – Mengapa seniman-seniman ini memilih untuk berkarya dengan cara yang rumit sebegini?

Kata kuncinya adalah ‘cabaran’ dan ‘kepuasan’. Cabaran di dalam penghasilan karya seni cetakan ini begitu dinamik di mana tekniknya sentiasa berevolusi. Seniman-seniman ini sentiasa mahu memastikan apa yang dapat dihasilkan dalam karya cetak setanding atau sebaiknya melebihi karya catan. Namun, prosesnya berbeza dan sudah tentu, cabarannya berlipat kali ganda. Telah terbukti bahawa seni ini memberikan cabaran fizikal yang luar biasa kepada mereka, mereka juga menganggap seni ini sebagai ‘a healthy mind challenge’ dimana potensi minda seniman sentiasa dioptimasikan. Bagi karya seni cetakan, proses aplikasi warna bukanlah sesuatu yang begitu spontan dan semudah sapuan berus. Proses mewarna juga memerlukan kajian dan strategi yang terperinci – bahagian mana yang perlu ditimbulkan, ditenggelamkan, dibiarkan kosong atau diwarnakan? Cabaran-cabaran inilah yang menjadi pendorong tegar mereka dalam bidang ini.

Nilai artistik seni cetakan menjangkaui nilai estetika. Ia mempunyai karakter yang penuh keterperincian, daripada segi fizikal mahupun mental – Inilah kepuasan yang dicari oleh seniman-senimannya.

SENI CETAKAN DAN CETAKAN WANG KERTAS

Di samping meraikan para seniman dan karya-karya mereka, pameran ini turut sama mengupas kekeliruan umum antara pencetakan dan seni cetakan. Walaupun konsepnya sama, namun tekniknya agak berbeza.

Apa yang menarik ialah cetakan bukanlah perkara asing bagi Bank Negara Malaysia. Ianya bermula apabila Bank Negara Malaysia mengeluarkan mata wang pertamanya pada 12 Jun 1967. Seni cetak dan pencetakan wang kertas mempunyai banyak persamaan.

Antara persamaan yang pastinya menarik minat kita semua adalah daripada segi kesan artistiknya. Kedua-dua seni cetakan dan pencetakan wang kertas mengaplikasikan teknik intaglio. Siapa sangka teknik intaglio ini berfungsi sebagai salah satu ciri keselamatan wang kertas agar ia sukar untuk ditiru atau dipalsukan. Jika ada yang masih tertanya-tanya bagaimana tekstur ini diterapkan pada wang kertas, saya mengajak anda semua mengeluarkan sebarang wang kertas dari dompet anda dan leretkan jari anda pada potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama. Kesan timbul itu adalah kesan intaglio.

PENUTUP

Pameran ini merupakan penghargaan terhadap semangat 29 seniman serta keunikan karya-karya mereka. Ia merupakan manifestasi artistik, ketelitian, keazaman dan kesabaran para seniman. Sekalung tahniah diucapkan kepada para seniman di atas usaha gigih mereka dalammemelihara masa depan seni cetakan. Semoga ianya dapat mencetuskan inspirasi pada para seniman yang lain di Malaysia.

Setinggi-tinggi perhargaan ditujukan kepada seluruh keluarga pameran ini; seniman-seniman yang terlibat dan pengumpul-pengumpul seni atas kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan inisiatif apresiasi seni ini terus diterapkan di segenap lapisan masyarakat.

Sekali lagi, terima kasih juga diucapkan kepada anda semua kerana sudi hadir bersama kami dalam majlis pelancaran pameran ini yang berlangsung dari 25 Ogos sehingga 25 November 2018. Kami berharap anda bukan sahaja dapat mengamati keindahan serta kehalusan seni karya-karya yang dipamerkan serta menghayati mesej langsung dan tidak langsung yang dipaterikan malah akan turut sama menyemarakkan semangat seni ini ke sekeliling anda.

Akhir kata, saya ingin mengungkap petikan kata seniman negara, Syed Ahmad Jamal:

“The role of the artist – a social one” - Di sini, beliau menekankan bahawa peranan seniman tidak terhenti di atas karya semata-mata, malah ia mencakupi hubungan serta interaksi mereka dengan orang ramai. Inilah harapan kami, agar pameran ini menjadi penghubung di antara kita semua.

Terima kasih, wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum w.b.t. dan sempena 61 tahun kemerdekaan negara, Sayangi Malaysiaku.

Sort:  

You’ve been upvoted by TeamMalaysia Community :-

To support the growth of TeamMalaysia Follow our upvotes by using steemauto.com and follow trail of @myach

Vote TeamMalaysia witness bitrocker2020 using this link vote for witness

Congratulations! This post has been upvoted from the communal account, @minnowsupport, by hooiyewlim from the Minnow Support Project. It's a witness project run by aggroed, ausbitbank, teamsteem, someguy123, neoxian, followbtcnews, and netuoso. The goal is to help Steemit grow by supporting Minnows. Please find us at the Peace, Abundance, and Liberty Network (PALnet) Discord Channel. It's a completely public and open space to all members of the Steemit community who voluntarily choose to be there.

If you would like to delegate to the Minnow Support Project you can do so by clicking on the following links: 50SP, 100SP, 250SP, 500SP, 1000SP, 5000SP.
Be sure to leave at least 50SP undelegated on your account.

Coin Marketplace

STEEM 0.17
TRX 0.13
JST 0.027
BTC 59356.21
ETH 2723.43
USDT 1.00
SBD 2.53